Ms:Tips for new (Pokemon Go) mappers

From OpenStreetMap Wiki
Jump to navigation Jump to search

Kebelakangan ini, ada sahaja aktiviti pemetaan yang datangnya daripada pemain “Pokemon Go”. Halaman ini menyenaraikan sedikit sebanyak panduan untuk pemeta-pemeta baru Pokemon Go yang asalnya telah dipaparkan di blog OpenStreetMap.[1]

Pokemon Go?

Aplikasi Pokemon Go.

Permainan mudah alih ini (asalnya) memaparkan peta Google Maps (dengan penuh warna-warni). Ada desas-desus (menurut sesetengah pemain) bahawa data OpenStreetMap telah digunakan untuk mempengaruhi “titik-titik kemunculan raksasa” dalam permainan.[2]

Hal ini tidak kurang menariknya, atas beberapa perkara. Salah satunya, hal ini boleh menonjolkan penggunaan data peta percuma dan terbuka ini secara kreatif serta tidak diduga — yang sebenarnya sentiasa dalam pencarian! (Nota: lesen terbuka OpenStreetMap turut menggariskan kredit kepada OpenStreetMap wajib diletakkan)

Maka, timbullah keinginan baru untuk menyunting peta, yang datangnya dari pemain Pokemon Go. Hal ini demikian kerana ada tanggapan, bahawa terdapat kemas kini dalam permainan, seiring perubahan yang dibuat dalam OpenStreetMap. Bagi orang baru, untuk mengenali OpenStreetMap mungkin mengambil tempoh yang tertentu. Walau bagaimanapun, diharapkan pemain-pemain Pokemon Go akan terus sentiasa membuat sumbangan pada bila-bila masa. Semoga panduan ini membantu untuk mengenali sebahagian daripada aspek OpenStreetMap yang ada kaitan dengan permainan ini.

Panduan pemeta-pemeta baru dari Pokemon Go

Ingin menemukan kemunculan raksasa luar kebiasaan lalu datang menjengah OpenStreetMap? Sebagai mukadimah, selamat datang ke komuniti yang bersungguh-sungguh dalam membina peta terbaik secara usaha sama!

Ada beberapa panduan pemeta-pemeta baru dari Pokemon Go:

Sila-silalah,

  • menambah baik peta!
  • memetakan apa-apa yang wujud di atas tanah. Peta ini digunakan oleh pejalan kaki, Orang Kelainan Upaya, penunggang basikal, pengembara berjalan kaki (hiker), pendayung kanu, pemandu dan yang lain. Jangan memetakan benda-benda yang tidak wujud, seperti denai jalan kaki khayalan
  • memetakan apa-apa yang boleh anda nampak (misalnya bangku duduk, kafe-kafe, pili bomba, tempat letak basikal) atau apa-apa yang anda tahu (sekiranya kedai mamak kegemaran anda menyediakan kemudahan Wi-Fi percuma, jenis gaya makanan di restoran berhampiran, ketercapaian, waktu perniagaan, laman web rasmi, pautan Wikipedia, dll)
  • memetakan denai jalan kaki dengan betul. Semak ciri-ciri yang boleh dipertimbangkan sebagai denai jalan kaki: dokumentasi tag highway=footway. Lihat juga ciri-ciri peta dan buat gelintaran (carian) wiki
  • sambungkan denai jalan kaki dengan rangkaian jalan-jalan
  • memetakan sekolah rendah dan sekolah menengah dengan tag amenity=school. Gunakan tag amenity=university untuk memetakan universiti.
  • ajukan soalan di help.openstreetmap.org
  • bertemu dengan komuniti! Sertai forum komuniti pemeta Malaysia, atau saluran perhubungan yang lain
  • untuk tidak meniru data berhak cipta dari peta-peta lain atau sumber-sumber lain
  • mencari pemeta-pemeta jiranan yang telah menambah baik peta kawasan kejiranan anda/bandar berdekatan anda, seperti dengan peta OOOC (buat suntingan banyak sedikit supaya anda kelihatan dalam peta tersebut)
  • menyemak statistik tentang suntingan-suntingan bermakna anda! Contoh yang ini
  • meneliti sebarang peristiwa semasa
  • menyebut tentang “Pokemon” dan keterangan tambahan tentang apa-apa yang telah anda tambah atau tukar dalam komen set ubah anda. Ini mungkin membantu pemeta-pemeta berjiranan untuk meneliti perubahan tersebut, dan mungkin memberi sedikit panduan
  • memuat naik jejak-jejak GPS anda, tambah-tambah lagi bagi yang tinggal di kawasan luar bandar
  • merujuk garis panduan amalan pemetaan yang baik untuk banyak lagi panduan.

Anda dan juga lebih daripada tiga juta penyumbang telah menjadikan OpenStreetMap suatu kenyataan. Selamat datang ke komuniti ini – beramahlah antara satu sama lain dan berseronoklah memetakan  titik biru pucat kita!

Rujukan

  1. (en) Tips for new (Pokemon Go) mappers di Blog OpenStreetMap, 30 Disember 2016. Rujukan 19 Disember 2017.
  2. (en) Frank, A. Pokémon Go’s maps now look a lot different: Goodbye Google, hello OpenStreetMap dalam Polygon, 4 Disember 2017. Rujukan 19 Disember 2017.